Bila tak kunyatakan keindahan-Mu dalam kata, Kusimpan kasih-Mu dalam dada. Bila kucium harum mawar tanpa cinta-Mu,Segera saja bagai duri bakarlah aku. Meskipun aku diam tenang bagai ikan, Tapi aku gelisah pula bagai ombak dalam lautan Kau yang telah menutup rapat bibirku, Tariklah misaiku ke dekat-Mu. Apakah maksud-Mu? Mana kutahu? jadikan aku peneroka jiwa yang alpha.
Saturday, January 15, 2011
Menutup Keaiban saudara
Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan mengenai perintah atau galakan menyembunyikan keaiban saudara seislam yang lain. Antaranya hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat".
- (Riwayat Muslim).
Hadith ini menceritakan kelebihan bagi sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat. Menurut para ulama, menyembunyikan keaiban orang lain terbahagi kepada dua keadaan: iaitu mahmud (terpuji) dan mazmum (dikeji). Menyembunyikan keaiban orang lain dianggap terpuji jika orang itu dari kalangan orang yang baik, beriman dan beramal soleh. Maka dalam hal ini keaibannya perlu dirahsiakan. Berbeza dengan orang yang suka melakukan maksiat, berbangga dengan maksiat yang dilakukan dan suka menceritakan maksiatnya kepada orang.
Apa yang penting dalam menyembunyikan keaiban orang lain adalah bergantung kepada maslahah atau kepentingan. Jika kepentingan menutup perbuatan tersebut maka perlu dirahsiakan begitulah sebaliknya. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam", pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT.
Islam melarang umatnya mengaibkan sesama Islam sehinggakan orang yang telah dihukum dengan hukuman had pun ditegah daripada dihina dan diaibkan sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah yang bermaksud:
"Seorang yang telah meminum arak dibawa kepada Nabi lalu Nabi memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat. Abu Hurairah menceritakan: Ada di antara kita yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan kasutnya, ada yang memukul dengan pakaiannya. Ketika lelaki tersebut beredar, setengah kaum menghinanya dengan mengatakan semoga Allah menghinakan engkau. Lalu Nabi melarang dengan katanya: Jangan mengeluarkan perkataan itu nanti syaitan akan mengambil peluang".
Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama Islam adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci-membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah. Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara seislamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafiq. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan pergeseran. Mengaibkan saudara seislam yang lain tanpa bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada segala-galanya.
Pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah kita pada hari ini adalah:
Pertama: Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berlandaskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun.
Kedua: Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara di samping berinteraksi dalam politik, sosial, perniagaan dan sebagainya berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.
Ketiga: Nama baik seseorang serta kehormatannya perlu dilindungi sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.
Keempat: Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan lawan seperti mencolek, mengugut, melakukan rasuah, memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang diharamkan oIeh Allah SWT.
Kelima: Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.
"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment