Tuesday, January 22, 2013

Kamu Di Mataku.


Hari ini 22 Januari 2013, kaki bertatih berjalan selepas satu penilaian ‘mooting’ pelajar-pelajar undang-undang di kampus. Perut kosong, jasad hanya ingin bersandar kerana lelah. Saya bersama seorang pensyarah turun ke cafe untuk membeli makanan tengahari pada jam 3.30 petang. Selesai membeli saya pun kembali ke tempat ‘pentas karya’ dimana saya menghabiskan kerja-kerja saya. Tapi di pertengahan jalan saya melihat seseorang yang istimewa di mata saya yang kini menyambung pengajian di Mesir dalam bidang perubatan sudah lama tidak bersua. Saya berlari mengejar dan tak tertahan matapun berkaca-kaca sambil memeluk erat dan tak ingin lepaskan. Menghabiskan masa kerana tak ingin hilang walau sesaat kerana pada detik itu masa saat berharga dan mungkin juga dia sudah menjadi sebahagian dari watak yang penting di dalam hidup saya. Izinkan saya berkongsi rasa itu dan mencurahkan sedikit pandangan terhadap rasa itu.
‘Nilai Manusia Di Mata Manusia’
Jika dengar kalimat di atas, apakah yang ada diminda anda? Secara jujurnya segala ini mengenai manusia yang suka menilai manusia lain. Tidak salah untuk menilai kerana mungkin penilaian itu boleh membuatkan kita muhasabah diri, menilai kekurangan diri sendiri. Tapi kebanyakan manusia yang menilai sekarang ini ialah penilaian yang mencari kelemahan dan bukannya membina.

Jika ada salah & silap, tegurlah dengan cara baik. Rasulullah S.A.W juga menggunakan cara yang penuh hikmah & bijaksana. Bukankah lebih baik jika mengikut cara yang dianjurkan Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W itulah sebaik-baik panduan.

Husnuzon (bersangka baik)
Cubalah untuk menegur dengan cara baik. Sering diberi penekanan tentang ukhwah. Fahamkah kalian dengan apa yang dimaksudkan dengan ‘ukhwah’? Tahukah kalian rukun-rukun ukhwah?

Kita perlu mengurangkan prasangka kerana kebanyakan prasangka itu adalah dusta & dosa. Cubalah untuk sentiasa bersangka baik dengan sahabat kerana manusia itu tidak sempurna, ada khilafnya. Jika kalian merasakan kalian benar-benar hebat, pasti kalian lebih arif tentang segala perkara asas dalam ukhwah memandangkan kalian merupakan insan-insan yang dibekalkan dengan ilmu agama yang tinggi. Wallahu’alam~

Refleksi = Muhasabah
Amat bersyukur kerana kalian bijak menilai manusia lain. Segalanya menunjukkan kalian prihatin akan insan sekeliling. Tapi menilai itu biarlah dengan cara yang baik. Jangan hanya disebabkan kesalahan yang kecil yang mampu diubah, habis segala kebaikan yang dilakukan dinafikan. Jika melihat insan lain mempunyai kekurangan, sepatutnya kalian bersyukur kerana tidak seperti mereka. Jika melihat insan lain itu mempunyai kelebihan, muhasabahlah kekurangan yang ada pada diri kalian itu. Jika dilihat hamba Allah itu tidak seperti yang diharapkan, kalian sepatutnya mendoakan perubahannya ke arah kebaikan. Bukannya kalian mengeluarkan kata-kata seperti..

……tapi pada hakikatnya, habuk pun xde…..”

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘habuk’ tersebut? Pahala kah? Dosa kah? Istiqomah kah?

Jangan dinafikan kebaikan
Biar seteruk mana pun kesalahan seseorang itu, jangan dinilai & dinafikan kebaikan yang dilakukannya. Yang baik tetap baik. Yang buruk tetap buruk. 2 benda yang ketara bezanya. Jangan zalim untuk disamakan 2 perkara tersebut. Tidak perlu dikeluarkan ayat seperti..

…hebat berkata-kata di fb, berdakwah..jangan berpura-pura untuk publisiti murahan..

MasyaAllah..kata-kata ini yang sememangnya tak layak untuk insan hebat seperti kalian keluarkan dari bibir yang sentiasa berzikir memuji Allah, hati yang sentiasa ingat pada Allah, zahiriah yang sentiasa kuat bermunajat pada Allah, rohaniah yang bersih dari noda.

Biarkan jika benar-benar hamba Allah itu hebat berkata-kata di Facebook. Sekurang-kurangnya masih ada kebaikan yang dilakukannya. Masih lagi hatinya hidup untuk menyedarkan manusia akhir zaman kini. Mungkin jua kata-katanya itu untuk peringatan dirinya sendiri. Sememangnya diakui kalian sememangnya insan-insan yang hebat tapi janganlah kebaikan hamba Allah yang lain yang ingin mengubah dirinya dinafikan. Bersyukurlah dengan apa yang kalian ada.

Berdakwah merupakan skop yang penuh ranjau. Alhamdulillah kerana hamba Allah itu masih mahu berdakwah walaupun hanya di Facebook. Siapalah kita untuk menentukan siapa yang berhak berdakwah atau tidak. Puas hatikah kalian jika hamba Allah itu menyebarkan perkara lagha semata di Facebook?

Jika benar dia tidak mengamalkan apa yang didakwahkan, itu urusan dirinya dengan Allah yang Maha Adil & Maha Mengetahui. Dia akan dipersoalkan tentang amalan yang tidak seiring kata-katanya. Tidak perlu kalian khuatirkan tentang itu. Sedarlah bahawa Allah itu Maha Adil.

Publisiti murahan. Satu lagi frasa yang cukup ‘mengejutkan’ untuk disampaikan dari mulut insan-insan sehebat kalian. Tahukah kalian apa sebenarnya yang berlaku pada hamba Allah itu? Mungkin hamba Allah itu sedang lemah, jadi dia ingin berdakwah di Facebook sebagai peringatan & semangat untuk dirinya.  Tiada istilah publisiti murahan yang patut dikeluarkan. Mungkin hamba Allah itu sedang berjihad. Hanya Allah yang tahu apa yang terjadi pada hamba Allah tersebut. Belajarlah untuk memahami insan lain.

Penilaian Allah itu Adil
Manusia sama sahaja di sisi Allah cuma yang membezakan ialah tahap keimanan & ketakwaan. Allah akan mengangkat mereka itu beberapa darjat. Allah sahaja yang lebih tahu tentang apa yang terjadi. Iman, semangat, kekuatan manusia itu ada turun naiknya. Semoga kita semua sama-sama bermuhasabah diri tentang kekurangan & kelebihan masing-masing. Banyakkan berdoa untuk orang lain bukan banyak berharap untuk orang lain menjadi seperti apa yang kita inginkan. Masing-masing ada ‘life story’masing-masing. Banyakkan berhusnuzon.


Konklusi :

1. Husnuzon itu tanda eratnya ukhwah.

 
2. Menilai biarlah dengan niat muhasabah.

3. Setiap orang ada kelebihan, kekurangan. Jangan dinafikan kebaikan yang dilakukan.

4. Penilaian Allah Maha Adil, kita belum cukup hebat untuk menilai orang lain.

5. KEJARLAH REDHA ALLAH BIARPUN DENGAN KEMURKAAN MANUSIA, TAPI JANGAN DIKEJAR KEREDHAAN MANUSIA DENGAN KEMURKAAN ALLAH.

6. Semoga kita sama-sama diterima di sisi yang Maha Pencipta.


Ma Fi Qalbi Ghairullah
(Dalam hatiku cukuplah ada Allah)

Segala ini sekadar perkongsian & peringatan buat diri ini. Maaf atas segala kekurangan. Terima kasih atas segala kesempatan. Semoga redha Allah sentiasa mengiringi kita..wallahu’alam~